Let Get-It Free!

Friday 27 January 2012

PTPTN lupus

Menurut Perdana Menteri, PAKATAN RAKYAT merancang untuk melupuskan hutang PTPTN yang ditanggung oleh pelajar yang dianggarkan berjumlah RM 40 Billion. Langkah ini kononnya mampu mengurangkan beban tanggungan pelajar yang tamat pengajian yang berdepan dengan masalah sara hidup yang kian meningkat.

Kos pelupusan hutang ini menelan kos yang tinggi terhadap negara. Namun jika diimbas kembali dari maklumat sebelum ini, Malaysia kerugian lebih dari RM 800 billion dari aktiviti aliran wang haram ke luar negara. Jika masalah kebocoran ini dapat diatasi maka bukan sahaja PTPTN sahaja dapat dilupuskan bahkan  pembangunan universiti yang tergendala akibat kekurangan sumber kewangan dapat diatasi.

Perancangan ini boleh jadi omongan politik dari pembangkang menurut sesetengah pihak, rakyat juga barangkali terkejut dengan janji ini, mana tidaknya dari kronologi PTPTN bermula dengan kadar bunga 3% ke 1 % dan kini PR menjanjikan pelupusan hutang kepada pelajar. Langkah ini pasti dialu-alukan lebih dari 300 ribu peminjam PTPTN kini kerana memberi manfaat yang banyak. Ianya seperti hadiah kerana berjaya menamatkan pengajian tinggi dari pihak kerajaan.

Menjelang tirai pilihan raya ke-13, pelbagai tawaran hebat dinikmati. Kerajaan menjanjikan skim sebelum PRU-13 dan pembangkang menjanjikan skim selepas pilihan raya. Ura-ura GST selepas pilihan raya kerajaan terus jadi bisu bila pelbagai habuan diterima. Usah kita lupakan skim GST selepas pilihan raya yang akan dilaksanakan.

Berbalik kepada PTPTN yang akan dimansuhkan jika PR berjaya menakluk Putrajaya amat dihargai namum bagaimana pula kesan terhadap persepsi pelabur terhadap Malaysia? Jangan khuatir kerana pelaksanaan pendidikan percuma sebenarnya telah diamalkan oleh negara maju contohnya Jerman dan Jerman adalah antara negara mendapat pelaburan tertinggi di dunia. Tetapi rakyat harus jelas memahami bahawa PR tidak mampu untuk melupuskan PTPTN jika tidak berjaya menakluk Putrajaya. 

Akhir kata, tiada siapa akan menolak jika pinjaman PTPTN mereka dilupuskan dan harga minyak diturunkan. Hanya mereka yang luar biasa bijaknya akan menolak tetapi kita harus menghormati pendirian itu. Jika PR menang dan tidak melupuskan PTPTN dan harga minyak tidak diturunkan, maka rakyat akan keluar berduyun-duyun untuk mendesak mereka berundur dari takhta pemerintahan negara. 

Hayyu Zahari
Simpang Empat
27/01/2012




Thursday 26 January 2012

Penyerang ABU melampaui Batas.

Hangat isu serangan terhadap ABU di Jalan Kebun baru-baru ini. Ada yang menyifatkan serangan dari Ultra Melayu iaitu Perkasa tetapi tiada maklumat rasmi dan sah yang membuktikan kesemua yang terlibat ialah ahli Perkasa. Menyedihkan melibatkan majoriti remaja belasan umur, hingus pun tidak kering lagi.

Mengapa terjadi serangan sebegini? Adakah keharmonian kaum di Malaysia semakin meruncing? Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Siapa yang harus dipersalahkan dalam isu ini, bila timbul serangan terhadap bangsa bukan melayu maka Perkasa dapat nama  kalau tidakpun Pekida yang terkait sama.

Adakah benar ini angkara 2 NGO melayu yang menjadi pengacau terhadap bangsa lain atau fitnah besar terhadap kaum melayu. Mungkin jua serangan itu dibuat oleh ahli kumpulan-kumpulan ini, tetapi adakah ianya dirancang oleh pemimpin tertinggi mereka?Saya tidak menuduh kedua-dua NGO , tetapi saya cukup risau isu ini, saya tidak memandang ianya serangan dari NGO-NGO ini tetapi sebenarnya ada pihak yang merancang untuk mengganggu gugat ketenteraman masyarakat Malaysia.

Dalang ini boleh jadi dari mana-mana pihak berkepentingan yang ingin melihat suasana 13 Mei berulang. Mereka sengaja menimbulkan persengketaan kaum untuk meraih sokongan dari bangsa tertentu serta beroleh kekuatan kaum. Sejauh mana dengan meraih 1 sokongan kaum mampu memberi ketenteraman awam? Itu tidak mungkin, perjuangan itu harus merentasi perbatasan kaum dan agama.

Rakyat terutama golongan muda jangan mudah untuk melenting atau terpedaya dengan tipu helah mana-mana pihak yang ultra perkauman dan agama. Isu yang utama ialah menjaga kepentingan negara dan kesemua rakyat Malaysia. Apa yang paling penting ialah jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga dan jangan kerana ia nila, rosak habis seketurunan mereka.(renungan bersama)

Hayyu Zahari
Simpang Empat
26/01/2012

Saturday 21 January 2012

DRB-Hicom ambilalih Proton

DRB-Hicom telah mengambilalih sejumlah 42.74% saham dari Khazanah Nasional dengan nilai sekitar RM 3 Billion. Proton juga telah meneliti segala kesan terutamanya kakitangan dan vendor-vendor.

Harga jualan Proton kepada Hicom dianggarkan pada RM 6.00 sesaham berbanding harga terakhir sebelum  digantung sekitar RM 5.18. Usaha Hicom mengambilalih Proton antaranya mengukuhkan syarikat automotif negara bagi lebih berdaya saing.

Antara kelebihan Hicom ialah mempunyai kerjasama dengan syarikat gergasi Jerman iaitu Volkswagen dapat dimanipulasi bagi meningkatkan mutu pengeluaran dan kecekapan dari aspek kejuruteraan.

Kilang pemasangan Volkswagen di Malaysia harus dimanfaatkan seperti menganalisis kecekapan pemasangan yang diamalkan oleh mereka. Proton juga telah menerima pelbagai ramuan dari Mitsubishi, Lotus, Renault dan kini Volkswagen melalui Hicom. 

Segala peluang ini harus diambil bagi memartabatkan Proton dimata dunia dengan menghasilkan kereta bermutu tinggi dan harga yang berpatutan. Jika kini Proton menghasilkan sekitar 220,000 unit setahun dan kadar economic production quantity (EPQ) ialah sekitar 250,000 unit, maka Proton harus memenuhi jumlah pengeluaran seperti itu bagi mengurangkan kos pengeluaran selain usaha pemantapan jenama Proton itu sendiri bagi diterima seantero dunia.

Proton mempunyai keupayaan yang luar biasa dari aspek peluang pemasaran terutamanya di negara timur tengah dan harus dimanfaatkan kerana Proton adalah jenama Malaysia. Tanpa pengambilalihan dari DRB-Hicom, Proton masih mampu untuk bersaing tetapi harus berlaku internal transformation dalam Proton itu sendiri. Antara aspek yang harus dijadikan fokus ialah pre-production dan production yang mana mampu mengurangkan pelbagai kos termasuk bahan, pemasangan, proses, buruh dan tenaga.

Selain itu, aspek Supply Chain Management dan pemilihan vendor terbuka mampu memperkukuhkan Proton dalam aspek pembekalan barangan berkualiti pada harga relevant. Setiap aspek ini harus diperinchikan supaya pelaksanaan pengukuhan itu tidak hanya populis tetapi ianya tindakan serius untuk membina Proton ketahap yang lebih tinggi. Pelbagai perinchian yang boleh dibuat oleh bijak pandai yang digaji oleh Proton atau konsultan-konsultan yang dibayar sedemikian tinggi bagi menginjak Proton ketahap yang lebih tinggi. 

Hayyu Zahari
Durian Tunggal 
21/01/2012

Wednesday 18 January 2012

Pemecatan Hasan Ali

Pemecatan Y.B. Dato' Dr. Hasan Ali daripada PAS amat mengejutkan semua pihak baik dalam PAS sendiri atau juga masyarakat Malaysia. Kelantangan dan keberanian beliau amat dihargai dalam menegakkan Islam itu sendiri dan juga mempertahankan hak penganut agama lain.

Timbul isu 'parasit' dalam PAS yang menguasai kedudukan penting dalam parti yang telah menyebabkan PAS hilang identiti sendiri ditelan oleh pemimpin 'parasit'. Dakwaan pihak tertentu berkaitan pemecatan Hasan Ali dalam parti antaranya kerana desakan 'parasit' yang dilihat seperti berat kearah PKR.

Antara maklumat menyebut bahawa pemecatan Hasan Ali kerana kenyataan beliau tentang perhimpunan 901 tidak wajar disokong kerana ianya isu peribadi Ketua Pembangkang Y.B. Dato'Seri Anwar Ibrahim. Secara amnya isu liwat 2 terhadap Anwar Ibrahim ialah isu peribadi dan mengikut sesetengah pihak ianya merupakan serangan peribadi bagi memusnahkan kerjaya politik DSAI serta mencalarkan imej beliau sebagai pemimpin yang kotor dan jijik. Perhimpunan 901 itu sebenarnya bergantung kepada penyokong sendiri, sama ada mahu melihat tuduhan itu sebagai bermotif peribadi atau politik dan jika ianya bersifat politik, maka selayaknya bagi penyokong untuk berhimpun. 

Pemecatan Hasan Ali juga berkait keengganan beliau menuruti keputusan parti secara keseluruhan dan sering mengeluarkan kenyataan yang tidak selari dengan pimpinan tertinggi parti. Keadaan ini secara tidak langsung melihatkan kelemahan dalam parti kerana tiada sifat menghormati kepimpinan parti. Politik konsepnya ialah mendapat kepercayaan dari rakyat termasuk dari ahli pimpinan tertinggi dan berpegang kepada keputusan berpersatuan, bukan secara peribadi. Ketidakseiringan keputusan Hasan Ali sedikit dan sebanyak menjejaskan imej parti dan mengugat sokongan ketika PRU-13 bakal menjelma.

Namun jauh disudut hati, kepimpinan Hasan Ali harus diakui. Keputusan memecat beliau sebelum beliau sempat mempertahankan diri  atau membuat rayuan kepada Majlis Syura harus diteliti kembali. Bagi menonjolkan kepimpinan cemerlang harus mengaplikasikan konsep keadilan yang tidak langsung bersifat berat sebelah atau demi kepentingan semata-mata. Hasan Ali harus dilayan dengan seadilnya seperti mana pihak lain, walaupun selama ini kenyataan beliau menongkah arus, keadilan itu harus diberi walaupun ia pahit untuk diamalkan kerana kepentingan tertentu. Hasan Ali harus diberi peluang untuk mempertahankan semua kenyataan yang selama ini dikeluarkan dengan hujah-hujah beliau dan pihak yang ingin memecat atau menggantung beliau juga harus mengeluarkan hujah-hujah kepada beliau mengapa harus dikenakan tindakan. Semoga keputusan yang diambil adalah demi keadilan yang hakiki.

Hayyu Zahari
Ayer Keroh
18/01/2012


Wednesday 11 January 2012

Peristiwa 901

901 tarikh perhimpunan pembebasan Anwar Ibrahim diatas pertuduhan liwat, keputusan dari hakim mahkamah tinggi mengejutkan ramai pihak terutamanya penyokong yang hadir. Himpunan ratusan ribu rakyat ini sebagai tanda sokongan terhadap kepercayaan mereka kepada ketua pembangkang.

Isu pembebasan Anwar Ibrahim memang mengejutkan ramai pihak terutamanya dari rakyat yang beranggapan bahawa selama ini mahkamah menjadi boneka orang yang berpengaruh di negara ini. Keputusan ini dialu-alukan walaupun ada sesetengah pihak yang tidak senang. Pelbagai kemungkinan yang boleh terjadi antaranya rayuan dari pihak pendakwa raya terhadap keputusan ini di mahkamah rayuan dan jika berlanjutan ke mahkamah persekutuan.

Pembebasan Anwar dari tuduhan liwat ini bukan bermakna pemulihan institusi kehakiman secara keseluruhan. Semestinya terdapat banyak ruang yang harus diperbaiki dan tidak boleh dinafikan itu sewajarnya diatasi bagi mengangkat imej Malaysia ke persada dunia.

Prosiding mahkamah  masih boleh berlaku, walaupun ada cadangan dari Majlis Peguam Malaysia yang mencadangkan supaya tidak dirayu kes ini bagi membolehkan kes jenayah yang lebih berat diselesaikan. Namun begitu, pihak saya  tidak bersetuju dengan cadangan tersebut kerana dalam usaha memartabatkan keadilan harus kita bersama menegakkannya walaupun pahit bagi pihak tertentu. 

Proses rayuan itu sendiri sah dari segi undang-undang, maka peluang itu harus dibenarkan dengan cara yang betul tanpa ada keraguan. Sudah tentu ramai yang tidak bersetuju, namun harus diingatkan harapan untuk membina negara yang adil itu harus ada pengorbanan walaupun ia sesukar mana.

Apapun jua pendapat yang hadir melalui perbezaan pegangan politik, seharusnya jua kita memegang kepada kemanfaatan yang terbesar supaya kenikmatan itu dirasai secara menyeluruh oleh rakyat. Tidak semestinya yang kita sukai itu baik bagi kita dan yang tidak disukai itu mudarat bagi kita. Fikirkan ianya bersama.


Hayyu Zahari
Ayer Keroh
11/01/2012





Thursday 5 January 2012

Merasuk Mahasiswa!

Kebinggungan serta merta menerpa kerana situasi rakan siswa di UPSI menjadi hangat. Liputan dari blog-blog yang membawa aliran warna tersendiri menyebabkan situasi sebenar menjadi kelabu.

Pandangan dari rakan-rakan siswa mengatakan provokasi menyebabkan polis bertindak. Situasi ini menghalalkan tindakan polis sebagai benar. Ada pula rakan siswa berkata, jika tindakan provokasi itu menyebabkan tindakan ganas polis  maka jika ada dikalangan anda diprovokasi maka bolehlah sesuka hati memukul si provokasi.

Situasi ini pernah disebut sebagai "matlamat menghalalkan cara". Tindakan berkumpul itu sendiri sah maka saya merasakan hak dan kebebasan sebagai rakyat Malaysia itu harus dipertahankan sebagaimana diperuntukan dalam perlembagaan.

Situasi menjadi sedikit binggung dengan tindakan pro-aspirasi yang berkumpul sebagai protes terhadap timbalan menteri Dato' Saifuddin Abdullah. Maka saya bertanya sendiri adakah perhimpunan ini mendapat permit dan mendapat kebenaran Naib chancelor setiap universiti.

Jika saya menafikan hak pro-aspirasi, maka saya juga tergolong dengan mereka yang menghalang kumpulan  yang lain berhimpun di UPSI. Saya merasakan keterbukaan itu harus  menjadi sesuatu perbincangan kerana kita khuatir kebebasan yang kita definasikan tidak seiring dengan definasi kebebasan dalam konteks undang-undang negara.

Kita juga dikejutkan dengan video dari pihak polis di youtube dan juga dari pihak satu lagi. Maka menjadi sedikit kekeliruan video dari pihak yang satu lagi tidak lagi wujud. Berbagai kecaman yang diterima rakan siswa yang berhimpun dan kesalahan mereka kerana berhimpun untuk AUKU dimansuhkan.Salah atau tidak didefinasikan melalui kerajaan memerintah? "I don't know the imagination of the government".

Seringkali bahawa pihak yang memainkan sentimen bahawa mahasiswa tidak harus menentang kerajaan dan berterima kasih terhadap kerajaan kerana membenarkan mereka belajar di universiti. Persepsi sebegini ialah persepsi yang lapuk dan usang kerana harus diingatkan sekali lagi bahawa tertegaknya kerajaan hari ini adalah hasil sokongan rakyat. Wang yang membiayai mahasiswa itu datang dari kantung segenap rakyat Malaysia yang membayar cukai saban tahun. Oleh itu, ia bukan hak total dari kerajaan.

Sesiapapun kerajaan yang mentadbir, jangan menjadikan setiap apa yang ditadbir itu sebagai mengikut kemahuan mereka semata-mata. Begitu juga dengan layanan terhadap mahasiswa itu harus juga adil kerana tindakan yang tidak adil pasti akan terhisab kelak. Mahasiswa juga harus adil terhadap hukuman yang mereka kenakan terhadap kerajaan dan tindakan yang diambil mereka harus juga menunjukkan keintektualan mereka.

Hayyu Zahari
Ayer Keroh
5/1/2012