Let Get-It Free!

Sunday 26 February 2012

Pilihan Raya antara PARTI atau CALON

  1. Kesetiaan kepada parti membataskan pilihan yang ada, tranformasi politik baru yang wujud kini ialah pilihan berdasarkan calon.
  2. Asas yang penting yang mendukung keutamaan pemilihan calon berbanding parti adalah ciri yang dibawa oleh calon itu seperti keterampilan, sifat kepimpinan, keintelektualan dan pemikiran yang menjurus kepada kepentingan rakyat serta negara.
  3. Kelemahan yang ada kepada pilihan parti adalah seseorang itu sendiri tidak mempunyai ciri-ciri yang harus ada sebagai pemimpin dan kemenangan itu hanya ehsan dari golongan fanatik parti. Apabila ia terlalu membawa prinsip kepartian, maka itu seseorang pemimpin sukar membawa perubahan dalam bentuk pemikiran kerana tercengkam oleh bayangan parti sendiri.
  4. Apabila calon tidak mempunyai karaktor dan keintelektualan kesannya ia mudah mengikut bayangan kepimpinan secara buta tuli tanpa dapat memutuskan langkah tepat yang harus diambil.
  5. Benar, Si polan menang kerana parti. Tetapi, ingat pernah pepatah pilihan raya berbisik bahawa Jika sudah parti itu, dicalon beruk juga pasti menang.
  6. Ini dilemma pemilihan berdasarkan parti, tetapi pemilihan berdasar calon juga mempunyai impak seperti YB katak. Situasi ini mengundang keruntuhan sesebuah kerajaan yang menang tipis atau cukup makan. Maka ianya seperti memperjudi nasib kerana tidak ada jaminan tentang kesetian kepada parti ketika berkuasa.
  7. Pelbagai asas boleh diambil kira, tetapi meletakkan keutamaan calon sebagai indikator atau penanda aras utama ketika membuang undi. Ini kerana calon yang bermutu pasti memberi kebarangkalian kualiti yang lebih baik ketika menjalankan tanggungjawab sebagai YB. Undang-undang yang digubalkan akan kelihatan lebih menyeluruh dan bijaksana.
  8. Tidak mudah untuk mengubah persepsi setiap pengundi, kerana kefahaman setiap insan berbeza-beza serta pengetahuan turut berbeza-beza. Kemahuan juga tidak sama, tetapi menjadi tanggungjawab kepada setiap yang rakyat Malaysia yang memenuhi syarat sebagai pengundi untuk berdaftar dan turun mengundi kerana masa depan negara terletak kepada setiap undi yang dipangkah. Jangan terlalu memandang mudah atau remeh kerana ianya memberi kesan besar kepada setiap rakyat yang bernaung dibawah panji-panji Malaysia.
Hayyu Zahari
Ayer Keroh
26/02/2012

Saturday 18 February 2012

PUM Digesa Panggil Anwar

Persatuan Ulama Malaysia (PUM) digesa memanggil Anwar untuk penjelasan berbabit dakwaan menjadi agen Pluralism.  

Isu Pluralism hebat dibicarakan sehingga dibicara dalam rancangan Bicara Rakyat di RTM 1. Namun begitu, ramai tidak tahu antara strategi untuk menyesatkan kaum Muslim ialah melalui amalan Pluralism dan hak asasi manusia.

Murtad boleh berlaku dalam 2 keadaan iaitu melalui sedar dan tanpa disedari. Keadaan yang paling bahaya adalah melalui situasi tidak disedari kerana diri yang terbabit juga tidak tahu bahawa mereka telah terkeluar dari Islam. Contoh dalam situasi menyamakan taraf Agama Islam itu dengan agama lain secara tidak langsung telah memurtadkan si pengucap dan penyamatarafan ini dikatakan ajaran Pluralism.

Dalam situasi seperti menyatakan tiada agama yang mengajar melakukan kejahatan ianya sebenarnya bertujuan menganjurkan semua penganut agama melakukan kebaikan maka  ianya tidak bersabit dengan penyamatarafan agama. Maka situasi ini tidak menjadikan seseorang itu murtad atau menyebarkan pluralism.

Berbalik kepada isu asal yang dikatakan Anwar Ibrahim menyokong pluralism maka menjadi tanggungjawab tidak berbelah bahagi bagi PUM untuk memanggil Anwar Ibrahim untuk memberi penjelasan atau isu yang timbul keatas dirinya.

Peranan PUM amat penting kerana keputusan PUM adalah berlandaskan ajaran Islam dan tidak wujud kompromi dalam isu membabitkan aqidah. Tindakan membisu dari PUM mungkin menimbulkan tanda tanya kerana peranan agama mencakupi semua aktiviti manusia.

Islam itu indahnya kerana menyediakan segala panduan dalam kehidupan termasuk politik, ekonomi, sosial dan hak kemanusiaan. Janganlah sesekali memisahkan ia dengan kehidupan kita.

Hayyu Zahari
Simpang Empat 
18/2/2012


Sunday 12 February 2012

Baucar Buku 1 Malaysia

Baucar buku 1 Malaysia merupakan insiatif kerajaan dibawah pentadbiran YAB Perdana Menteri dalam membantu pelajar pengajian tinggi di dalam negara yang berjumlah 1.3 juta. Kos pembiayaan BB1M  ini menelan kos RM 260 juta, kos ini tidak setinggi subsidi kerajaan terhadap syarikat-syarikat GLC terdahulu yang mencecah puluh billion ringgit.

Pelajar pengajian tinggi amat berbesar hati dengan perolehan ini, namun yang mengecewakan ada antara segelintir kecil yang tidak menghargai dengan menjualnya kepada pihak tertentu. Walhal ini merupakan peluang mereka memiliki buku yang bermanfaat tidak kira dalam apa jua bidang sekalipun, asalkan yang memperkayakan nilai diri dan menyuntik nilai tambah dalam modal insan negara.

Membincang tentang panorama baucar buku ini, pelbagai situasi berlaku dalam cubaan penyalahgunaan dan pengambil kesempatan dari pihak peniaga. Situasi pertama yang berlaku dari pihak peniaga buku ialah menaikkan harga buku 10% hingga 40% dari harga yang pernah ditawarkan sebelum baucar buku ini diperkenalkan. Kedua, kesilapan penulisan nama pada baucar sebagai contoh di bawah.

Nama: Muhammad Nor Mohd (Nama tertulis di Baucar)
Nama: Muhammad Nor Bin Mohd (Nama tertulis di IC)

Situasi di atas menyebabkan baucar buku tidak diterima oleh kedai tersebut atas alasan nama tidak sama seperti dalam IC sedangkan nombor kad pengenalan tertera sama seperti dalam baucar dan kad pengenalan.. Apabila diajukan kepada pihak pengurusan kedai maka mereka terus menunjukkan prosedur penerimaan baucar disediakan oleh pihak kerajaan. Dengan tidak semana-mana, kerajaan juga dipersalahkan dalam ketelusan pemberian baucar ini kerana sengaja mengenakan prosedur tidak masuk akal supaya dapat mengurangkan kos pembiayaan dalam baucar ini.

Saya terus mengajukan hal ini kepada kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara berkenaan isu nombor kad pengenalan bagi mendapatkan pengesahan tentang fungsi nombor kad pengenalan. Menurut kakitangan tersebut nombor kad pengenalan adalah nombor yang unik kerana tidak akan sama antara satu sama lain dan melalui nombor itu dapat mengesan penama bagi pemilik nombor berkenaan. Pasti isu di atas tidak timbul jika prosedur mengada-ngada kerajaan tidak diwujudkan.

Masalah ketiga ialah ketika pengagihan diperingkat pusat pengajian tinggi yang mana secara tergesa-gesa dan tidak teratur. Pelaksanaan tidak berjalan secara tersusun dan tidak menunjukkan ia berlaku di pusat pengajian tinggi di negara ini.

Jika dianalisis secara terperinci sudah pasti masih banyak ketidakcekapan yang berlaku, namun usaha ini merupakan langkah yang baik dan harus diteruskan untuk mendatangkan kebaikan kepada rakyat dan negara. Pemberian baucar ini menggarap tabiat membaca terutama diperingkat pengajian tinggi. Semoga kritikan yang dikeluarkan ini bukanlah berniat membantutkan usaha kerajaan tetapi adalah kritikan membina agar ianya ditambahbaik dan mengubah persepsi enteng terhadap kecekapan kerajaan.

Hayyu Zahari
Simpang Empat
28/1/2012

Coretan Minyak Kelantan

“Tuan Yang di-Pertua, usaha mencari gali minyak dan gas di perairan negeri Kelantan belum berjaya menemui minyak dalam kuantiti yang komersial. Dalam tahun 70-an, Syarikat Esso mengerudi 2 telaga tetapi gagal menemui minyak. Pada bulan Ogos 1988, kawasan itu yang dikenali sebagai Blok PM2, diserahkan kepada sebuah konsortium yang terdiri daripada Home Oil Malaysia Ltd., Petro-Canada Malaysia Inc., Texaco Canada Malaysia Inc., PEXCO N.V. dan PETRONAS Carigali. Mengikut Kontrak Perkongsian Pengeluaran yang ditandatangani dengan Petronas, konsortium ini akan membelanjakan $43 juta untuk kerja-kerja mencari gali dalam tempoh 3 tahun dan menggerudi 4 telaga rambang di kawasan ini, bermula pada penghujung tahun ini.Sekiranya minyak ditemui dalam kuantiti yang komersial, konsortium ini bertanggungjawab mengeluarkannya. Sekiranya minyak diperolehi dikawasan berhadapan dengan negeri Kelantan, Kerajaan Negeri Kelantan akan menerima hasil royalti sebanyak 5% daripada minyak dan gas yang dikeluarkan sebagaimana yang diterima oleh negeri Terengganu, Sabah, dan Sarawak.” Dipetik dari Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Kasitah Bin Gaddam menjawab di Parlimen berkenaan cari gali dan royalti minyak di Kelantan sekitar tahun 1989.

The Joint Development Area is 260 kilometer far from Songkhla Province, where gas, oil and condensate are located. The gas production in the JDA has been commenced since 2 January 2005 and approximate profit to Thailand at the first stage will be held of 45,000 million bath.” Kenyataan dari Kastam Thailand pada 3 Mei 2005.

Berdasarkan maklumat yang tertera di atas, Kerajaan Kelantan boleh memperolehi sehingga RM 225 juta dari hasil gas di offshore yang dimaksudkan. Kira-kira ini diambil dari nilai 5% dari RM 4,500 juta. Hak kerajaan negeri Kelantan selari dengan Kenyataan Perdana Menteri ketiga Tun Hussin Bin Dato’ Onn pada tahun 1971 berkenaan hak rakyat Sabah dalam hal royalti minyak sebanyak 5%. Beliau juga memetik bahawa soal perkara minyak ini amat penting untuk rakyat jelata.

Walau bagaimanapun, tuntutan hasil pengeluaran gas Kelantan bermula pada tahun 2005 berpandukan kenyataan kastam Thailand berkenaan hasil kawasan Joint Development Authority (JDA) sepertimana diatas.Perkara utama yang menjadi perbahasan ialah bagaimana royalti disebut dalam undang-undang telah ditukar istilahnya kepada wang ehsan ketika kerajaan Pas Terengganu mengambilalih tampok pemerintahan kerajaan negeri. Ia tidak terhenti disitu sahaja, wang ehsan juga tidak diberikan kepada kerajaan negeri yang berkuasa tetapi diberi kepada Pengerusi badan perhubungan UMNO negeri Terengganu. Sah hal ini mencabuli hak pemerintah yang dipilih dan situasi ini turut mencabuli hak rakyat yang memilih.

Di Kelantan situasi sedikit berbeza kerana sebelum ini kerajaan negeri belum pernah menikmati wang royalti kerana hasil minyak dan gas belum diterokai secara komersial hanya setelah tahun 2005 ianya dikeluarkan dari perut bumi di perairan Kelantan. Bagi tuntutan yang permulaan, banyak yang mampu dipusing kerana ia tidak jelas dikalangan rakyat kecuali yang sedikit celik diantara yang ramai. Sehelai daun mana mampu menutup bangkai seekor gajah.

Kerajaan Persekutuan mampu mengambilalih kerajaan negeri Kelantan hanya dengan cara kembali melayani mereka sepertimana sewajarnya. Sedikit sebanyak dengan pemberian royalti mampu merapatkan jurang dengan rakyat kelantan dan menampakkan usaha untuk mentadbir secara adil tanpa memilih bulu. Bahkan, bukan sahaja Kelantan mampu diambilalih tetapi kesemua kerajaan negeri yang dikuasai pihak yang satu lagi. Jika perubahan tidak diambil dengan segera atau secara bersungguh-sungguh dengan cara yang adil dan telus bukan Kelantan hendak dirampas bahkan Putrajaya akan jatuh terlepas.

Hayyu Zahari
Simpang Empat
3/2/2012