Baucar buku 1 Malaysia merupakan insiatif kerajaan dibawah pentadbiran YAB Perdana Menteri dalam membantu pelajar pengajian tinggi di dalam negara yang berjumlah 1.3 juta. Kos pembiayaan BB1M ini menelan kos RM 260 juta, kos ini tidak setinggi subsidi kerajaan terhadap syarikat-syarikat GLC terdahulu yang mencecah puluh billion ringgit.
Pelajar pengajian tinggi amat berbesar hati dengan perolehan ini, namun yang mengecewakan ada antara segelintir kecil yang tidak menghargai dengan menjualnya kepada pihak tertentu. Walhal ini merupakan peluang mereka memiliki buku yang bermanfaat tidak kira dalam apa jua bidang sekalipun, asalkan yang memperkayakan nilai diri dan menyuntik nilai tambah dalam modal insan negara.
Membincang tentang panorama baucar buku ini, pelbagai situasi berlaku dalam cubaan penyalahgunaan dan pengambil kesempatan dari pihak peniaga. Situasi pertama yang berlaku dari pihak peniaga buku ialah menaikkan harga buku 10% hingga 40% dari harga yang pernah ditawarkan sebelum baucar buku ini diperkenalkan. Kedua, kesilapan penulisan nama pada baucar sebagai contoh di bawah.
Nama: Muhammad Nor Mohd (Nama tertulis di Baucar)
Nama: Muhammad Nor Bin Mohd (Nama tertulis di IC)
Situasi di atas menyebabkan baucar buku tidak diterima oleh kedai tersebut atas alasan nama tidak sama seperti dalam IC sedangkan nombor kad pengenalan tertera sama seperti dalam baucar dan kad pengenalan.. Apabila diajukan kepada pihak pengurusan kedai maka mereka terus menunjukkan prosedur penerimaan baucar disediakan oleh pihak kerajaan. Dengan tidak semana-mana, kerajaan juga dipersalahkan dalam ketelusan pemberian baucar ini kerana sengaja mengenakan prosedur tidak masuk akal supaya dapat mengurangkan kos pembiayaan dalam baucar ini.
Saya terus mengajukan hal ini kepada kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara berkenaan isu nombor kad pengenalan bagi mendapatkan pengesahan tentang fungsi nombor kad pengenalan. Menurut kakitangan tersebut nombor kad pengenalan adalah nombor yang unik kerana tidak akan sama antara satu sama lain dan melalui nombor itu dapat mengesan penama bagi pemilik nombor berkenaan. Pasti isu di atas tidak timbul jika prosedur mengada-ngada kerajaan tidak diwujudkan.
Masalah ketiga ialah ketika pengagihan diperingkat pusat pengajian tinggi yang mana secara tergesa-gesa dan tidak teratur. Pelaksanaan tidak berjalan secara tersusun dan tidak menunjukkan ia berlaku di pusat pengajian tinggi di negara ini.
Jika dianalisis secara terperinci sudah pasti masih banyak ketidakcekapan yang berlaku, namun usaha ini merupakan langkah yang baik dan harus diteruskan untuk mendatangkan kebaikan kepada rakyat dan negara. Pemberian baucar ini menggarap tabiat membaca terutama diperingkat pengajian tinggi. Semoga kritikan yang dikeluarkan ini bukanlah berniat membantutkan usaha kerajaan tetapi adalah kritikan membina agar ianya ditambahbaik dan mengubah persepsi enteng terhadap kecekapan kerajaan.
Hayyu Zahari
Simpang Empat
28/1/2012
No comments:
Post a Comment