Let Get-It Free!

Wednesday 18 January 2012

Pemecatan Hasan Ali

Pemecatan Y.B. Dato' Dr. Hasan Ali daripada PAS amat mengejutkan semua pihak baik dalam PAS sendiri atau juga masyarakat Malaysia. Kelantangan dan keberanian beliau amat dihargai dalam menegakkan Islam itu sendiri dan juga mempertahankan hak penganut agama lain.

Timbul isu 'parasit' dalam PAS yang menguasai kedudukan penting dalam parti yang telah menyebabkan PAS hilang identiti sendiri ditelan oleh pemimpin 'parasit'. Dakwaan pihak tertentu berkaitan pemecatan Hasan Ali dalam parti antaranya kerana desakan 'parasit' yang dilihat seperti berat kearah PKR.

Antara maklumat menyebut bahawa pemecatan Hasan Ali kerana kenyataan beliau tentang perhimpunan 901 tidak wajar disokong kerana ianya isu peribadi Ketua Pembangkang Y.B. Dato'Seri Anwar Ibrahim. Secara amnya isu liwat 2 terhadap Anwar Ibrahim ialah isu peribadi dan mengikut sesetengah pihak ianya merupakan serangan peribadi bagi memusnahkan kerjaya politik DSAI serta mencalarkan imej beliau sebagai pemimpin yang kotor dan jijik. Perhimpunan 901 itu sebenarnya bergantung kepada penyokong sendiri, sama ada mahu melihat tuduhan itu sebagai bermotif peribadi atau politik dan jika ianya bersifat politik, maka selayaknya bagi penyokong untuk berhimpun. 

Pemecatan Hasan Ali juga berkait keengganan beliau menuruti keputusan parti secara keseluruhan dan sering mengeluarkan kenyataan yang tidak selari dengan pimpinan tertinggi parti. Keadaan ini secara tidak langsung melihatkan kelemahan dalam parti kerana tiada sifat menghormati kepimpinan parti. Politik konsepnya ialah mendapat kepercayaan dari rakyat termasuk dari ahli pimpinan tertinggi dan berpegang kepada keputusan berpersatuan, bukan secara peribadi. Ketidakseiringan keputusan Hasan Ali sedikit dan sebanyak menjejaskan imej parti dan mengugat sokongan ketika PRU-13 bakal menjelma.

Namun jauh disudut hati, kepimpinan Hasan Ali harus diakui. Keputusan memecat beliau sebelum beliau sempat mempertahankan diri  atau membuat rayuan kepada Majlis Syura harus diteliti kembali. Bagi menonjolkan kepimpinan cemerlang harus mengaplikasikan konsep keadilan yang tidak langsung bersifat berat sebelah atau demi kepentingan semata-mata. Hasan Ali harus dilayan dengan seadilnya seperti mana pihak lain, walaupun selama ini kenyataan beliau menongkah arus, keadilan itu harus diberi walaupun ia pahit untuk diamalkan kerana kepentingan tertentu. Hasan Ali harus diberi peluang untuk mempertahankan semua kenyataan yang selama ini dikeluarkan dengan hujah-hujah beliau dan pihak yang ingin memecat atau menggantung beliau juga harus mengeluarkan hujah-hujah kepada beliau mengapa harus dikenakan tindakan. Semoga keputusan yang diambil adalah demi keadilan yang hakiki.

Hayyu Zahari
Ayer Keroh
18/01/2012


No comments:

Post a Comment