Let Get-It Free!

Wednesday 28 December 2011

Pilihan Raya Kampus 2012

Menjelang Pilihan Raya Kampus yang dijadualkan pada tahun hadapan, pelbagai persiapan dibuat oleh mahasiswa. Ada antaranya mencari calon atau mempersiapkan manifesto bagi meraih sokongan mahasiswa.

Manifesto yang popular pastinya berkenaan dengan kebajikan mahasiswa, isu harga makanan, bas, kolej kediaman, kemudahan fasiliti dan sebagainya. Tetapi ramai yang tidak sedar isu-isu ini adalah terlalu asas atau boleh disimpulkan sebagai wajib diperjuangkan dan tidak seharusnya di letakkan dalam manifesto mahasiswa bertanding.

Mahasiswa harus memandang tentang isu yang lebih besar, isu negara dan rakyat serta mengulas tentang isu-isu dasar kerajaan. Beberapa sebab mengapa mahasiswa harus terlibat dalam konteks yang lebih besar dan luas kerana keupayaan mahasiswa dalam aspek intelektual berbanding rakyat Malaysia di luar kampus.

Mahasiswa harus sedar, mereka merupakan nadi kepada kesedaran dan pembangunan negara tanpa mereka rakyat mungkin akan terpinggir dengan isu-isu dasar kerajaan. Tidak dinafikan bahawa ramai mahasiswa tidak peka kepada dasar-dasar kerajaan dan memberi pelbagai alasan untuk tidak mencampurinya.

Isu AUKU sememangnya popular tetapi tidak dapat dijangka sama ada akan digunakan sebagai manifesto pilihan raya kampus 2012. Ramai mahasiswa tidak sedar dengan perkembangan semasa terutamanya isu rayuan kerajaan terhadapa kes pengharaman seksyen 15 oleh mahkamah kerana bertentangan dengan perlembagaan negara. Kerajaan dalam masa yang sama juga menjamin untuk memansuhkan AUKU seksyen 15 tetapi tindakan merayu itu dalam kes mahkamah telah melihatkan percanggahan dalam isu AUKU itu sendiri.

Berbalik kepada isu dalaman kampus yang mana timbul isu melobi calon 'lembu' supaya sentiasa tunduk kepada kehendak orang tertentu juga timbul. Isu ini serius kerana mencalarkan integriti sebagai seorang mahasiwa dan mencabuli undi yang diberikan. Isu ini popular bagi universiti muda dimana kesedaran mahasiswa begitu kritikal.

Isu lain dalam kampus ialah pengundian menggunakan sistem e-undian yang jelas mencabul kebebasan dan ketelusan pilihan raya  kampus. Sistem e-undian harus dihentikan atau universiti sendiri akan menghadapi gerakan mahasiswa sama ada melalui mogokan undi atau kritikkan dalam laman sosial.

Isu terakhir ialah penyekatan oleh universiti dengan menghalang calon tertentu untuk tidak dibenarkan bertanding kerana syarat-syarat 'gila'. Antaranya syaratnya ialah mempunyai CGPA yang tertentu, ini jelas bahawa tindakan sabotaj kepada mahasiswa yang aktif.

Mahasiswa harus sedar mereka mempunyai kelebihan dan tidak terbatas dalam perjuangan dalam kampus. Mahasiswa harus mengorak langkah untuk berjuang dalam konteks kepentingan negara dan masyarakat. Mahasiswa harus sedar bahawa mereka mempunyai keintektualan untuk tidak terperangkap dalam prinsip kepartian dan mampu mengkritik mana-mana pihak dengan bebas serta secara tidak berat sebelah.

Cukuplah, dahulu mahasiswa 80-90an diragut suaranya tetapi mahasiswa kini tidak lagi mampu membiarkan hak mereka dicabuli lagi, apakan lagi hak rakyat Malaysia.

Nafas baru Mahasiswa Malaysia

Hayyu Zahari
Ayer Keroh
28/12/2011

No comments:

Post a Comment