Let Get-It Free!

Thursday, 5 January 2012

Merasuk Mahasiswa!

Kebinggungan serta merta menerpa kerana situasi rakan siswa di UPSI menjadi hangat. Liputan dari blog-blog yang membawa aliran warna tersendiri menyebabkan situasi sebenar menjadi kelabu.

Pandangan dari rakan-rakan siswa mengatakan provokasi menyebabkan polis bertindak. Situasi ini menghalalkan tindakan polis sebagai benar. Ada pula rakan siswa berkata, jika tindakan provokasi itu menyebabkan tindakan ganas polis  maka jika ada dikalangan anda diprovokasi maka bolehlah sesuka hati memukul si provokasi.

Situasi ini pernah disebut sebagai "matlamat menghalalkan cara". Tindakan berkumpul itu sendiri sah maka saya merasakan hak dan kebebasan sebagai rakyat Malaysia itu harus dipertahankan sebagaimana diperuntukan dalam perlembagaan.

Situasi menjadi sedikit binggung dengan tindakan pro-aspirasi yang berkumpul sebagai protes terhadap timbalan menteri Dato' Saifuddin Abdullah. Maka saya bertanya sendiri adakah perhimpunan ini mendapat permit dan mendapat kebenaran Naib chancelor setiap universiti.

Jika saya menafikan hak pro-aspirasi, maka saya juga tergolong dengan mereka yang menghalang kumpulan  yang lain berhimpun di UPSI. Saya merasakan keterbukaan itu harus  menjadi sesuatu perbincangan kerana kita khuatir kebebasan yang kita definasikan tidak seiring dengan definasi kebebasan dalam konteks undang-undang negara.

Kita juga dikejutkan dengan video dari pihak polis di youtube dan juga dari pihak satu lagi. Maka menjadi sedikit kekeliruan video dari pihak yang satu lagi tidak lagi wujud. Berbagai kecaman yang diterima rakan siswa yang berhimpun dan kesalahan mereka kerana berhimpun untuk AUKU dimansuhkan.Salah atau tidak didefinasikan melalui kerajaan memerintah? "I don't know the imagination of the government".

Seringkali bahawa pihak yang memainkan sentimen bahawa mahasiswa tidak harus menentang kerajaan dan berterima kasih terhadap kerajaan kerana membenarkan mereka belajar di universiti. Persepsi sebegini ialah persepsi yang lapuk dan usang kerana harus diingatkan sekali lagi bahawa tertegaknya kerajaan hari ini adalah hasil sokongan rakyat. Wang yang membiayai mahasiswa itu datang dari kantung segenap rakyat Malaysia yang membayar cukai saban tahun. Oleh itu, ia bukan hak total dari kerajaan.

Sesiapapun kerajaan yang mentadbir, jangan menjadikan setiap apa yang ditadbir itu sebagai mengikut kemahuan mereka semata-mata. Begitu juga dengan layanan terhadap mahasiswa itu harus juga adil kerana tindakan yang tidak adil pasti akan terhisab kelak. Mahasiswa juga harus adil terhadap hukuman yang mereka kenakan terhadap kerajaan dan tindakan yang diambil mereka harus juga menunjukkan keintektualan mereka.

Hayyu Zahari
Ayer Keroh
5/1/2012

Saturday, 31 December 2011

Disebalik Hitam dan Putih

Hitam dan putih adalah warna yang mempunyai karakter berbeda. Diantara mereka terdapat watak yang diwakili dan membawa kebaikan serta keburukan. Bahkan masing-masing mempunyai watak yang membawa kepada kepentingan.

Kedua-dua ciri ini, tidak lain ialah warna yang berbeza dan membawa pengertian berbeza. Mengambil contoh sehelai baju berwarna putih yang dipercayai dan digunakan sekian lama, maka kita mempercayai hanya baju putih yang berbakti. Adakah si hitam tidak mampu dijadikan baju yang berbakti? Haruskah diberi peluang kepada si hitam?

Begitu juga yang terjadi kepada si fanatik hitam, sudah pasti mereka akan terjerat pada situasi sama seperti si pemakai putih. Adakah salah warna-warna ini? Atau salah si pemakai itu sendiri kerana kepercayaannya? Tetapi wajar juga dinilai bahawa si putih mampu menjadi si hitam dan begitu juga sebaliknya kerana keadaan sekeliling yang memberi pengaruh.

Persoalan yang paling penting bagaimana untuk kita menyedarkan si pemakai bahawa jangan menjadi si fanatik warna kerana itu telah mengetepikan prinsip keterbukaan. Kedua-dua watak warna ini mempunyai fungsi dan tanggungjawab serta membawa kesan buruk dan baik. Si pemakai harus rasional untuk memilih warna yang memberi lebih banyak manfaat kepada dirinya sendiri dan masyarakat sekeliling.

Kepercayaan tahayul terhadap satu warna harus dijauhi dan membawa satu kepercayaan baru bahawa kita boleh memilih mana-mana diantara warna yang dimiliki sebagai pilihan berdasarkan keperluan semasa untuk membawa suatu perubahan positif.

Hayyu Zahari
Ayer Keroh
31/12/2011

Wednesday, 28 December 2011

Pilihan Raya Kampus 2012

Menjelang Pilihan Raya Kampus yang dijadualkan pada tahun hadapan, pelbagai persiapan dibuat oleh mahasiswa. Ada antaranya mencari calon atau mempersiapkan manifesto bagi meraih sokongan mahasiswa.

Manifesto yang popular pastinya berkenaan dengan kebajikan mahasiswa, isu harga makanan, bas, kolej kediaman, kemudahan fasiliti dan sebagainya. Tetapi ramai yang tidak sedar isu-isu ini adalah terlalu asas atau boleh disimpulkan sebagai wajib diperjuangkan dan tidak seharusnya di letakkan dalam manifesto mahasiswa bertanding.

Mahasiswa harus memandang tentang isu yang lebih besar, isu negara dan rakyat serta mengulas tentang isu-isu dasar kerajaan. Beberapa sebab mengapa mahasiswa harus terlibat dalam konteks yang lebih besar dan luas kerana keupayaan mahasiswa dalam aspek intelektual berbanding rakyat Malaysia di luar kampus.

Mahasiswa harus sedar, mereka merupakan nadi kepada kesedaran dan pembangunan negara tanpa mereka rakyat mungkin akan terpinggir dengan isu-isu dasar kerajaan. Tidak dinafikan bahawa ramai mahasiswa tidak peka kepada dasar-dasar kerajaan dan memberi pelbagai alasan untuk tidak mencampurinya.

Isu AUKU sememangnya popular tetapi tidak dapat dijangka sama ada akan digunakan sebagai manifesto pilihan raya kampus 2012. Ramai mahasiswa tidak sedar dengan perkembangan semasa terutamanya isu rayuan kerajaan terhadapa kes pengharaman seksyen 15 oleh mahkamah kerana bertentangan dengan perlembagaan negara. Kerajaan dalam masa yang sama juga menjamin untuk memansuhkan AUKU seksyen 15 tetapi tindakan merayu itu dalam kes mahkamah telah melihatkan percanggahan dalam isu AUKU itu sendiri.

Berbalik kepada isu dalaman kampus yang mana timbul isu melobi calon 'lembu' supaya sentiasa tunduk kepada kehendak orang tertentu juga timbul. Isu ini serius kerana mencalarkan integriti sebagai seorang mahasiwa dan mencabuli undi yang diberikan. Isu ini popular bagi universiti muda dimana kesedaran mahasiswa begitu kritikal.

Isu lain dalam kampus ialah pengundian menggunakan sistem e-undian yang jelas mencabul kebebasan dan ketelusan pilihan raya  kampus. Sistem e-undian harus dihentikan atau universiti sendiri akan menghadapi gerakan mahasiswa sama ada melalui mogokan undi atau kritikkan dalam laman sosial.

Isu terakhir ialah penyekatan oleh universiti dengan menghalang calon tertentu untuk tidak dibenarkan bertanding kerana syarat-syarat 'gila'. Antaranya syaratnya ialah mempunyai CGPA yang tertentu, ini jelas bahawa tindakan sabotaj kepada mahasiswa yang aktif.

Mahasiswa harus sedar mereka mempunyai kelebihan dan tidak terbatas dalam perjuangan dalam kampus. Mahasiswa harus mengorak langkah untuk berjuang dalam konteks kepentingan negara dan masyarakat. Mahasiswa harus sedar bahawa mereka mempunyai keintektualan untuk tidak terperangkap dalam prinsip kepartian dan mampu mengkritik mana-mana pihak dengan bebas serta secara tidak berat sebelah.

Cukuplah, dahulu mahasiswa 80-90an diragut suaranya tetapi mahasiswa kini tidak lagi mampu membiarkan hak mereka dicabuli lagi, apakan lagi hak rakyat Malaysia.

Nafas baru Mahasiswa Malaysia

Hayyu Zahari
Ayer Keroh
28/12/2011

Sunday, 25 December 2011

Berjuang Dengan Bijaksana

Perjuang sukar ditafsirkan, biarpun adakalanya membawa kepada kekeliruan dan kekacauan. Perjuangan berdasarkan ideologi dan prinsip adakalanya menjadi bentang menjadi si buta tuli.

Berjuang memerlukan kebijaksanaan, meletakkan kita berada pada aras di mana dan ketokohan kita dalam kepimpinan. Adakalanya perjuangan disalah tafsirkan oleh si penafsir kudaan, itu adalah segala kemungkinan dalam sebuah perjuangan yang memerlukan pengorbanan.

Mengulas sebuah perjuangan tentang pemansuhan AUKU oleh Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) mempunyai asas kukuh dalam kandungan perjuangan mereka. Malangnya isu kandungan perjuangan tidak menjadi sepopular si penurun bendera dan si panglima perang.

Secara peribadi saya langsung tidak menyokong tidakan si penurun bendera dan si panglima perang kerana secara asas mereka telah terkeluar dari sebuah perjuangan yang bermaruah dan bijaksana. Perjuangan itu harus secara bermaruah kerana ianya menggambarkan keikhlas sebuah matlamat dan martabat.

Sebuah perbandingan untuk si penurun bendera, jika seseorang yang tidak dikenali bertandang ke rumah dan menurun gambar ayah atau keluarga anda, apakah tafsiran anda kepada si dia ? Sudah pasti tindakan ini adalah diluar norma budaya rakyat Malaysia, begitu juga dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh si panglima perang yang ingin meludah si penurun bendera tadi. Kenyataannya bertentangan dengan norma dan meletakkan kebijaksanaan jauh di telapak kaki.

Sesiapa jua berhak dalam perjuangan mereka pilih, sama ada dipihak kerajaan atau pembangkang kerana itu demokrasi diamalkan. Dan kerana asas sebuah demokrasi serombolan mahasiswa menentang AUKU kerana itu termaktub dalam prinsip yang diamalkan di Malaysia. Jangan jadi si buta yang bersuluh dan si pekak yang terpejam.

Hayyu Zahari 
Ayer Keroh 
25/12/2011

Friday, 23 December 2011

Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M)

Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) adalah inisiatif kerajaan dalam membantu rakyat untuk mengatasi peningkatan kos sara hidup. Bantuan ini datang sekali sahaja mengikut kehendak semasa kerajaan dan bukannya bantuan setahun sekali. Setiap keluarga dengan syarat seperti berikut layak memohon BR1M :
  • Warganegara Malaysia
  • Isi rumah berpendapatan kasar RM3,000 dan ke bawah sebulan.
  • Bantuan ini diberikan kepada ketua isi rumah atau ketua keluarga.
    • Ketua isi rumah didefinisi sebagai seorang lelaki atau perempuan yang menjadi ketua kepada ahli keluarga yang tinggal serumah atau ketua keluarga. Ianya juga harus merangkumi individu seperti berikut :
      • Berkahwin
      • Ibu atau Bapa tunggal yang mempunyai tanggungan
      • Bujang yang mempunyai tanggungan
      • Warga Emas sebatang kara
Rajah 1 : Contoh isi rumah berkeluarga.

Setiap anak yang berkahwin dikira sebagai satu isi rumah yang lain dan layak untuk mendapat BR1M sekiranya memenuhi syarat.(Walaupun tinggal bersama dengan ibubapa)

Rajah 2 : Contoh isi rumah warga emas dan bujang atau ibu/bapa tunggal bertanggungan. 

Rakyat Malaysia yang memenuhi syarat BR1M dialu-alukan memohon dan tidak bertangguh untuk berbuat demikian. Bantuan ini datangnya dari wang pembayar cukai dan diagihkan oleh kerajaan kepada mereka yang memerlukan. Bagi golongan yang berpendidikan(Mahasiswa), mereka diharapkan membantu rakyat yang tidak mengetahui cara bagaimana untuk memperolehi bantuan dari agensi kerajaan yang berkenaan.

Sumber rujukan : Kementerian Kewangan Malaysia

Hayyu Zahari
Ayer Keroh
23/12/2011

P/S: Cara paling mudah ialah bawa mereka yang layak kepada ketua JKKK dan mereka pasti boleh membantu rakyat. Pastikan anda memiliki borang yang berkenaan.