Let Get-It Free!

Showing posts with label Ulasan. Show all posts
Showing posts with label Ulasan. Show all posts

Sunday, 22 July 2012

Bersediakah Kita

Masa berlalu terlalu pantas sehingga tidak kita sedari kemerdekaan sudah menjenggah usia 55 tahun. Cabaran era kita berbeza dengan era pra kemerdekaan dan cabaran ini yang menguji kesediaan kita.

Apa yang kita hadapi kini ialah cabaran sistem 'meritocracy' yang akan dilaksanakan secara meluas dalam semua bidang bagi menggalakkan persaingan terbuka tanpa membezakan hak keistimewaan seseorang. Ianya bertujuan untuk menjadikan modal insan lebih berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran global.

Namun demikian, tidak tahu mengapa ada kemungkinan pelaksanaan 'meritocracy' ini mungkin datangnya dari mereka-mereka yang ingin mengambil peluang untuk menghapuskan hak keistimewaan bangsa-bangsa tertentu dan menggunakan kesempatan ini bagi mencapai hasrat selama usia kemerdekaan kita.

Ada pula yang berpendapat, 'meritocracy' ini tidak lain adalah habuan balas kepada kemewahan pemimpin-pemimpin politik. Itulah harga yang harus dibayar oleh rakyat dek kejahilan pemimpin pilihan.

Namun begitu, terdapat juga asas-asas bahawa sistem 'meritocracy' ini harus didokong bagi mencapai matlamat negara bangsa. Sistem merit ini mampu dilaksanakan secara menyeluruh apabila beberapa syarat dilaksanakan:

  1. Sistem persekolah satu bumbung : Tiada lagi sekolah Melayu, Cina dan Tamil. Hanya yang wujud sekolah rakyat yang mana semua bangsa bersekolah di sekolah yang sama dengan 1 sistem pendidikan kebangsaan.
  2. Setiap pelajar harus menguasai setidak-tidak 3 bahasa sebelum memasuki pendidikan peringkat menengah iaitu bahasa malaysia, inggeris dan cina atau tamil atau kadazan atau iban atau punjabi atau mana-mana bahasa yang diajar dalam sistem sekolah rakyat. (Tidak termasuk bahasa arab)
  3. 70 peratus rakyat malaysia memahami setidak-tidak satu bahasa dari bangsa lain samada bahasa cina, tamil, iban, kadazan atau lain-lain termasuk kefasihan yang tinggi dalam bahasa kebangsaan.
  4. Ujian lisan bahasa malaysia wajib dimasukan sebagai permarkahan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
  5. Ujian kewarganegara dikenakan pada Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan SPM.
  6.  Temuduga kerja wajib dalam bahasa kebangsaan atau salah satu dari bahasa ditemuduga. 
Syarat-syarat di atas dikenakan kerana terdapat kelemahan yang jelas antaranya ketika sesi permohonan kerja dimana syarat menguasai bahasa selain bahasa kebangsaan menjadi kelebihan atau kewajipan. Contoh penguasaan dalam bahasa cina menjadi kelebihan dan hanya segelintir yang menguasainya selain bangsa cina kerana sistem dwi persekolahan yang ada pada peringkat nasional dan ini membuatkan sistem yang ada tidak setara dan persaingan tidak seimbang.


Sistem merit haruslah dilaksanakan apabila syarat-syarat diatas dipenuhi bagi membuka ruang yang adil dalam persaingan terbuka. 

Hayyu Zahari
22/07/2012

Sunday, 26 February 2012

Pilihan Raya antara PARTI atau CALON

  1. Kesetiaan kepada parti membataskan pilihan yang ada, tranformasi politik baru yang wujud kini ialah pilihan berdasarkan calon.
  2. Asas yang penting yang mendukung keutamaan pemilihan calon berbanding parti adalah ciri yang dibawa oleh calon itu seperti keterampilan, sifat kepimpinan, keintelektualan dan pemikiran yang menjurus kepada kepentingan rakyat serta negara.
  3. Kelemahan yang ada kepada pilihan parti adalah seseorang itu sendiri tidak mempunyai ciri-ciri yang harus ada sebagai pemimpin dan kemenangan itu hanya ehsan dari golongan fanatik parti. Apabila ia terlalu membawa prinsip kepartian, maka itu seseorang pemimpin sukar membawa perubahan dalam bentuk pemikiran kerana tercengkam oleh bayangan parti sendiri.
  4. Apabila calon tidak mempunyai karaktor dan keintelektualan kesannya ia mudah mengikut bayangan kepimpinan secara buta tuli tanpa dapat memutuskan langkah tepat yang harus diambil.
  5. Benar, Si polan menang kerana parti. Tetapi, ingat pernah pepatah pilihan raya berbisik bahawa Jika sudah parti itu, dicalon beruk juga pasti menang.
  6. Ini dilemma pemilihan berdasarkan parti, tetapi pemilihan berdasar calon juga mempunyai impak seperti YB katak. Situasi ini mengundang keruntuhan sesebuah kerajaan yang menang tipis atau cukup makan. Maka ianya seperti memperjudi nasib kerana tidak ada jaminan tentang kesetian kepada parti ketika berkuasa.
  7. Pelbagai asas boleh diambil kira, tetapi meletakkan keutamaan calon sebagai indikator atau penanda aras utama ketika membuang undi. Ini kerana calon yang bermutu pasti memberi kebarangkalian kualiti yang lebih baik ketika menjalankan tanggungjawab sebagai YB. Undang-undang yang digubalkan akan kelihatan lebih menyeluruh dan bijaksana.
  8. Tidak mudah untuk mengubah persepsi setiap pengundi, kerana kefahaman setiap insan berbeza-beza serta pengetahuan turut berbeza-beza. Kemahuan juga tidak sama, tetapi menjadi tanggungjawab kepada setiap yang rakyat Malaysia yang memenuhi syarat sebagai pengundi untuk berdaftar dan turun mengundi kerana masa depan negara terletak kepada setiap undi yang dipangkah. Jangan terlalu memandang mudah atau remeh kerana ianya memberi kesan besar kepada setiap rakyat yang bernaung dibawah panji-panji Malaysia.
Hayyu Zahari
Ayer Keroh
26/02/2012

Wednesday, 18 January 2012

Pemecatan Hasan Ali

Pemecatan Y.B. Dato' Dr. Hasan Ali daripada PAS amat mengejutkan semua pihak baik dalam PAS sendiri atau juga masyarakat Malaysia. Kelantangan dan keberanian beliau amat dihargai dalam menegakkan Islam itu sendiri dan juga mempertahankan hak penganut agama lain.

Timbul isu 'parasit' dalam PAS yang menguasai kedudukan penting dalam parti yang telah menyebabkan PAS hilang identiti sendiri ditelan oleh pemimpin 'parasit'. Dakwaan pihak tertentu berkaitan pemecatan Hasan Ali dalam parti antaranya kerana desakan 'parasit' yang dilihat seperti berat kearah PKR.

Antara maklumat menyebut bahawa pemecatan Hasan Ali kerana kenyataan beliau tentang perhimpunan 901 tidak wajar disokong kerana ianya isu peribadi Ketua Pembangkang Y.B. Dato'Seri Anwar Ibrahim. Secara amnya isu liwat 2 terhadap Anwar Ibrahim ialah isu peribadi dan mengikut sesetengah pihak ianya merupakan serangan peribadi bagi memusnahkan kerjaya politik DSAI serta mencalarkan imej beliau sebagai pemimpin yang kotor dan jijik. Perhimpunan 901 itu sebenarnya bergantung kepada penyokong sendiri, sama ada mahu melihat tuduhan itu sebagai bermotif peribadi atau politik dan jika ianya bersifat politik, maka selayaknya bagi penyokong untuk berhimpun. 

Pemecatan Hasan Ali juga berkait keengganan beliau menuruti keputusan parti secara keseluruhan dan sering mengeluarkan kenyataan yang tidak selari dengan pimpinan tertinggi parti. Keadaan ini secara tidak langsung melihatkan kelemahan dalam parti kerana tiada sifat menghormati kepimpinan parti. Politik konsepnya ialah mendapat kepercayaan dari rakyat termasuk dari ahli pimpinan tertinggi dan berpegang kepada keputusan berpersatuan, bukan secara peribadi. Ketidakseiringan keputusan Hasan Ali sedikit dan sebanyak menjejaskan imej parti dan mengugat sokongan ketika PRU-13 bakal menjelma.

Namun jauh disudut hati, kepimpinan Hasan Ali harus diakui. Keputusan memecat beliau sebelum beliau sempat mempertahankan diri  atau membuat rayuan kepada Majlis Syura harus diteliti kembali. Bagi menonjolkan kepimpinan cemerlang harus mengaplikasikan konsep keadilan yang tidak langsung bersifat berat sebelah atau demi kepentingan semata-mata. Hasan Ali harus dilayan dengan seadilnya seperti mana pihak lain, walaupun selama ini kenyataan beliau menongkah arus, keadilan itu harus diberi walaupun ia pahit untuk diamalkan kerana kepentingan tertentu. Hasan Ali harus diberi peluang untuk mempertahankan semua kenyataan yang selama ini dikeluarkan dengan hujah-hujah beliau dan pihak yang ingin memecat atau menggantung beliau juga harus mengeluarkan hujah-hujah kepada beliau mengapa harus dikenakan tindakan. Semoga keputusan yang diambil adalah demi keadilan yang hakiki.

Hayyu Zahari
Ayer Keroh
18/01/2012


Wednesday, 11 January 2012

Peristiwa 901

901 tarikh perhimpunan pembebasan Anwar Ibrahim diatas pertuduhan liwat, keputusan dari hakim mahkamah tinggi mengejutkan ramai pihak terutamanya penyokong yang hadir. Himpunan ratusan ribu rakyat ini sebagai tanda sokongan terhadap kepercayaan mereka kepada ketua pembangkang.

Isu pembebasan Anwar Ibrahim memang mengejutkan ramai pihak terutamanya dari rakyat yang beranggapan bahawa selama ini mahkamah menjadi boneka orang yang berpengaruh di negara ini. Keputusan ini dialu-alukan walaupun ada sesetengah pihak yang tidak senang. Pelbagai kemungkinan yang boleh terjadi antaranya rayuan dari pihak pendakwa raya terhadap keputusan ini di mahkamah rayuan dan jika berlanjutan ke mahkamah persekutuan.

Pembebasan Anwar dari tuduhan liwat ini bukan bermakna pemulihan institusi kehakiman secara keseluruhan. Semestinya terdapat banyak ruang yang harus diperbaiki dan tidak boleh dinafikan itu sewajarnya diatasi bagi mengangkat imej Malaysia ke persada dunia.

Prosiding mahkamah  masih boleh berlaku, walaupun ada cadangan dari Majlis Peguam Malaysia yang mencadangkan supaya tidak dirayu kes ini bagi membolehkan kes jenayah yang lebih berat diselesaikan. Namun begitu, pihak saya  tidak bersetuju dengan cadangan tersebut kerana dalam usaha memartabatkan keadilan harus kita bersama menegakkannya walaupun pahit bagi pihak tertentu. 

Proses rayuan itu sendiri sah dari segi undang-undang, maka peluang itu harus dibenarkan dengan cara yang betul tanpa ada keraguan. Sudah tentu ramai yang tidak bersetuju, namun harus diingatkan harapan untuk membina negara yang adil itu harus ada pengorbanan walaupun ia sesukar mana.

Apapun jua pendapat yang hadir melalui perbezaan pegangan politik, seharusnya jua kita memegang kepada kemanfaatan yang terbesar supaya kenikmatan itu dirasai secara menyeluruh oleh rakyat. Tidak semestinya yang kita sukai itu baik bagi kita dan yang tidak disukai itu mudarat bagi kita. Fikirkan ianya bersama.


Hayyu Zahari
Ayer Keroh
11/01/2012





Saturday, 31 December 2011

Disebalik Hitam dan Putih

Hitam dan putih adalah warna yang mempunyai karakter berbeda. Diantara mereka terdapat watak yang diwakili dan membawa kebaikan serta keburukan. Bahkan masing-masing mempunyai watak yang membawa kepada kepentingan.

Kedua-dua ciri ini, tidak lain ialah warna yang berbeza dan membawa pengertian berbeza. Mengambil contoh sehelai baju berwarna putih yang dipercayai dan digunakan sekian lama, maka kita mempercayai hanya baju putih yang berbakti. Adakah si hitam tidak mampu dijadikan baju yang berbakti? Haruskah diberi peluang kepada si hitam?

Begitu juga yang terjadi kepada si fanatik hitam, sudah pasti mereka akan terjerat pada situasi sama seperti si pemakai putih. Adakah salah warna-warna ini? Atau salah si pemakai itu sendiri kerana kepercayaannya? Tetapi wajar juga dinilai bahawa si putih mampu menjadi si hitam dan begitu juga sebaliknya kerana keadaan sekeliling yang memberi pengaruh.

Persoalan yang paling penting bagaimana untuk kita menyedarkan si pemakai bahawa jangan menjadi si fanatik warna kerana itu telah mengetepikan prinsip keterbukaan. Kedua-dua watak warna ini mempunyai fungsi dan tanggungjawab serta membawa kesan buruk dan baik. Si pemakai harus rasional untuk memilih warna yang memberi lebih banyak manfaat kepada dirinya sendiri dan masyarakat sekeliling.

Kepercayaan tahayul terhadap satu warna harus dijauhi dan membawa satu kepercayaan baru bahawa kita boleh memilih mana-mana diantara warna yang dimiliki sebagai pilihan berdasarkan keperluan semasa untuk membawa suatu perubahan positif.

Hayyu Zahari
Ayer Keroh
31/12/2011